Catatan Hari-hari Seorang Musafir

Monday, July 23, 2007

Jangan Tinggalkan!


Ya Allah!

Milik-Mulah segalanya ini. Ketakutan ini. Rasa kasih ini. Debaran hatiku, milik-Mulah. Milikku hanya kosong. Semuanya kupinjam. Semuanya anugerah. Segalanya ujian. Bila Engkau murka, aku hancur. Bila Engkau cinta, dukaku lebur.


Ya Allah!

Aku menyeru nama-Mu. Aku mencari-Mu. Perjalanan hidup yang kulalui, pada-Mu sajalah tempat akan kukembali. Janganlah Engkau memarahiku. Janganlah Engkau membenciku. Engkau Tuan, aku hamba! Bagaimanakah aku bila Engkau membenciku? Bagaimanakah keadaan aku, seorang hamba, bila dibenci oleh Tuannya? Manalah lagi tempat untuk seorang hamba jika dibenci oleh Tuannya? Mana lagi tempat untukku? Semuanya milik-Mu. Milik-Mulah segala yang ada. Segala yang kunampak dengan mata, segala yang kurasa dengan hati. Milik-Mulah. Milikku hanya kosong. Kosong...


Ya Allah!

Janganlah Engkau jadikan anugerah yang Engkau berikan kepadaku sebagai hijab yang melindungi aku dari pandangan-Mu. Janganlah Engkau jadikan ujian yang Engkau timpakan kepadaku sebagai hijab yang akan memisahkan aku dengan-Mu. Jangan Ya Allah! Bagaimana aku, seorang hamba ingin hidup tanpa kasih sayang Tuannya? Bagaimana aku, seorang hamba ingin hidup tenang bahagia tanpa keredhaan tuannya? Janganlah Engkau jadikan ilmu itu bagai hijab yang memisahkan kita. Janganlah Engkau jadikan kejahilan itu bagai hijab yang menjauhkan kita.


Ya Allah!

Aku dungu! Aku semu!

Janganlah Engkau pisahkan aku dari bimbingan dan pengampunan-Mu.


Ya Allah!

Aku faqir!

Jangalah Engkau tinggalkan aku dalam ketidakcukupanku.


Ameen!
posted by Zaharah at 8:24 AM 1 comments

Saturday, February 17, 2007

Pada Malam Ini


Malam sudah lama bermula. Sudah mahu sampai di pertengahannya. Namun, bunyi dentuman bunga api di luar sana masih rancak. Cahaya warna warni memenuhi langit Lumut malam ini. Saya masih terkurung di dalam dunia sunyi. Memandang dinding dan sesekali berbahasa dengan angin.


Ya Mutakabbir!
Tidak pernah dan tidak akan pudar kemegahan-Mu, meski manusia menunjukkan pelbagai keupayaannya. Dan, malam yang penuh kegembiraan bagi mereka yang memiliki syurga dunia ini, telah mengajar hamba untuk meneliti jauh ke dalam diri sendiri.


Ya Musawwir!
Cahaya api yang berbunga-bunga, memecah warna gelap langit-Mu. Mereka bahagia. Dari sudut terpencil ini, hati hamba terpecah-pecah oleh api nafsu. Sesat dalam gelap dan sunyi. Hamba mencari makna. Yang hamba tunggu terlalu lama. Atau hamba telah temui cahaya itu, tetapi hati hamba telah buta. Hamba mencari-Mu sedang Engkau tetap ada. Hamba menyisihkan-Mu sedang Engkau tetap memerhati. Hamba terus mencari......


Ya Qahhar!
Hamba memiliki hati. Sekeping hati yang Kau beri. Putih warna asalnya. Kini telah hitam hamba corakkan. Ke mana lagi hamba mahu pergi? Ke sisi siapa lagi hamba mampu pergi? Pagi yang tak terasa pagi. Malam yang tak terasa panjang. Hamba hilang tujuan. Mencari jalan penyucian. Jalannya telah ada. Tidak pernah berubah ia dari sisi-Mu, ya Tuhan. Hanya kaki hamba yang cedera. Dan hati yang penuh cela. Hamba hanya mampu memandang cahaya itu, dari jauh. Hamba hulurkan tangan, tetapi hati hamba masih dalam kegelapan. Waktu meninggalkan dan hamba terus terkebelakang. Dengan penguasaan-Mu, kuasailah seluruh hati hamba, agar ia kembali suci, wahai Yang Menguasai.


Ya Fattah!
Bagaikan sebuah pintu gua, yang tertutup rapat. Hamba tidak ada daya, untuk membuka hati hamba sendiri. Kerana keupayaan itu tidaklah hamba miliki. Milik-Mulah segala yang ada ini. Hamba damba putih cahaya, dan dikembalikan hati hamba, kepada warna asalnya. Apalah yang mampu hamba lakukan dengan hati segelap ini? Tiada cahaya. Tiada upaya. Hamba hilang semuanya bilamana Engkau hamba tinggalkan. Alangkah malangnya hamba, wahai Yang Maha Membukakan.


Ya Qabidh!
Hamba sudah tidak mampu bergerak ke depan. Semakin jauh perjalanan, semakin hitam masa depan. Semakin jauh Engkau hamba tinggalkan. Kabus itu terlalu tebal. Jurang itu terlalu dalam. Sakit ini terlalu panjang. Hamba tidak mampu bahagia tanpa genggaman-Mu, walau sesaat. Nyawa hamba milik-Mu, hidup ini hamba corakkan semahu. Hananya rasa, wahai Tuhan. Ambillah hamba pulang, andai di hadapan adalah pilihan yang lebih sesat harus hamba jalani.


Ya Muzil!
Terlalu hitam hati ini hamba perlakukan. Penuh karat dan rasa sakit. Apakah ada yang wujudnya telah sebati dengan hitam itu, mampu diputihkan kembali warnanya? Dan, kemaksiatan hamba tetaplah dalam murka-Mu. Kekejian hamba tetaplah akan mendapat balasan-Mu. Tetapi hamba merayu, jalan pulang ini, hamba merayu ambillah hamba kembali untuk Engkau ampuni, Wahai Tuhan Yang Maha Menghinakan segala kejahatan hamba.


Ya Sami' Ya Basir!
Hamba mohon dalam desakan, tanpa ada pengecualian. Engkau melihat kehinaan dan kederhakaan hamba, tetapi Engkau juga mendengar rayuan hamba. Hamba sujud, hamba pohon. Sesunggunya, pada-Mu sajalah tempat semuanya kembali.


Ya Ghaffar!!!
Tanpa pilihan, hamba meminta. Api-api yang memecahkan dada langit-Mu, api-api yang telah membakar jiwaku, hamba pohon keampunan, tanpa pengecualian. Bilamana telah lena semua makhlukmu, dan berdiri hamba-hamba-Mu yang mukhlis, hamba merayu keampunan. Kepada-Mu, hamba ingin pulang seperti burung-burung yang terbang aman. Seperti ikan yang berenang tenang. Seperti pohon yang berzikir tanpa henti. Seperti laut yang dingin penuh rindu pada-Mu. Seperti gunung-gunung yang sentiasa sujud kepada-Mu. Kegelapan hati ini, hamba sudah tidak mampu menafasinya lagi. Berikanlah hamba upaya, kembali berjalan di jalan-Mu yang lurus. Mohon keampunan, mohon pertolongan, mohon bimbingan, wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani.

Ya Jalil, Ya Karim, Ya Raqib, Ya Mujib!
posted by Zaharah at 8:40 AM 0 comments

Wednesday, February 14, 2007

Teliti dan Perbaikilah Dirimu Bila Ada Celaan


Bergaul dengan manusia, memang tidak seindah mimpi tentang serombongan orang yang pergi bersama-sama, makan bersama, saling tolong-menolong, kasih-mengasihi dan cerita yang menyenangkan. Bergaul di antara sesama manusia, memang boleh menyenangkan, akan tetap tidak jarang menjengkelkan.


Kadang-kadang memang tidak selalu apa yang kita kehendaki sama dengan apa yang dikehendaki orang lain. Demikian juga apa yang dikehendaki orang lain mungkin tidak sama dengan kehendak kita. Sering pula orang mengkoreksi diri kita, atau juga mencela, dan mengungkit-ungkit kesalahan kita, atau membuat kita jengkel dan marah. Menghadapi hal seperti ini hendaklah hamba Allah yang soleh dan mukhlis, tidak menyesali diri, atau menyalahkan orang lain. Hendaklah ia kembalikan segala-galanya kepada Allah, Pemelihara yang tidak diketahui oleh manusia.


Mengembalikan semua masalah kita sebagai hamba, kepada Allah, ialah meminta pertolonganNya, agar terlepas daripada mara bahaya yang datang dari manusia ataupun datang dari diri kita sendiri.


Dalam pergaulan memang diperlukan jiwa yang besar, namun tidak angkuh. Tabah tetapi tidak menyalahkan. Tegar tetapi tetap waspada. Mengkoreksi diri sangat penting, agar mengetahui kelemahan diri kita sendiri, dan berusaha memperbaiki, serta menambah kebaikan. Manusia kadang-kadang tidak mampu melihat dirinya sendiri. Ia lebih pandai melihat orang lain. Sehingga aib yang ada di matanya sendiri tidak nampak olehnya. Banyak kesalahan yang dibuat oleh diri kita sendiri, akan tetapi , kerana kita tidak hiraukan, maka aib itu pun terabai.


Janganlah menganggap koreksi terhadap diri kita sangat menyakitkan, akan tetapi kita sendiri tidak meneliti dan memperbaiki aib diri kita sendiri. Lebih baik kita menyakiti diri sendiri, kerana mengkoreksi aib daripada dikoreksi orang lain kerana ia akan lebih menyakitkan.


Berusaha memperbaiki diri sendiri serta menghidupkan kembali perasaan dan sikap beragama dalam diri adalah ubat yang sangat mujarab dalam pergaulan. Sesudah itu disembuhkan sendiri sakit dan pedih itu dengan tawakal kepada Allah, lalu dipulihkan dengan rida menerima semua yang datang dari Allah.

Sumber: Mutu Manikam Dari Kitab Al-Hikam, Syeikh Ahmad Atailah.
posted by Zaharah at 8:52 PM 0 comments

Sunday, February 11, 2007

Di Perjalanan Ini....

Pernahkah anda merasa letih ketika di perjalanan yang sangat jauh?

Entah, tiba-tiba saya berasa terlalu penat. Terlalu letih. Persis baru tiba dari sebuah perjalan di padang pasir yang luas dan tandus. Saya sudah tidak sabar untuk menamatkan perjalanan ini. Saya sudah sedia membuka mulut, mendongak ke langir, agar turun titisan rahmat dari awan kasihNya yang Maha Pemurah. Saya mahu mengisi kedahagaan ini, dengan pertemuan, agar saya tidak lagi berpeluang ingkar terhadap anugerahNya.

Anda, jangan silap faham. Saya bukan berputus asa pada kehidupan yang Allah berikan ini. Bukan! Bukan, saya bukan berputus asa. Saya cuma berasa terlalu letih. Saya hanya mahukan Dia, mahukan sebuah kesudahan yang baik daripada nyawa yang saya galas ini. Saya mahukan kesudahan yang bahagia, bersamaNya tatkala saya sudah berasa amat letih!






posted by Zaharah at 11:28 AM 0 comments

Thursday, February 1, 2007

Aku Musafir

Di sini,
Aku leta, bermusafir dalam harap. Semalam yang kecundang, kusimpan dalam dakap. Sampai bila-bila pun, aku akan tetap jadi musafir. Harap-harap tidaklah aku karam dalam kekosongan. Kalau maut tiba pun, biarlah ia menjemput dengan penuh kelembutan dan kemuliaan. Penuh dengan pengampunan Tuhan.
Kerana, aku musafir yang sedar diri. Leta. Tidak punya apa. Yang ada hanya perahu amal yang penuh dosa.
posted by Zaharah at 1:10 PM 0 comments

Tuesday, January 30, 2007

Bingkisan Untuk Ar-Rahman Ar-Rahim

Bismillahirrahmanirrahim!
Ya Rabbi,
Inilah catatan perjalananku yang baru. Setelah lama diri terbiar sesat dalam sedar, daku kembali lagi kepada-Mu. Daku pulang dengan tangisan yang tidak dapat kuhentikan. Pun, harapanku hanyalah agar Engkau masih menerima kepulangan ini.
Ya Rabbi,
Engkaulah sumber rezekiku. Kenapa hatiku terlalu sesak memikirkannya sedang Engkaulah yang menguruskan segalanya. Semuanya adalah, dari sisi-Mu jua datang dan perginya. Bawalah daku ke jalan-Mu yang lurus, terang dan tenang.
Ya Rabbi,
Engkaulah sumber keamanan. Kenapa hatiku masih mencarinya dari manusia? Engkaulah sumber cinta dan kebahagiaan. Kenapa daku masih mendambakannya dari manusia?
Ya Rabbi,
Dipukul gelongbang dunia yang ganas, ditiup angin taufan nafsu, akhirnya daku terdampar di kaki takdir-Mu dalam kesakitan. Daku ingn membuang semua rasa itu. Namun, apakah akan Kau sambut kepulanganku ini?
Atau marahkah Kau padaku?
Ya Allah, marahkan Engkau padaku?
Ya Allah, wahai pelindungku,
berilah pengampunan-Mu kepadaku
berilah cinta dan kasih sayang-Mu kepadaku.
Wahai Yang Memiliki cinta,
Wahai Pemilik Cinta Yang Agung,
Daku menanti, Kau mencintaiku
sehingga aku pula mencintai-Mu.


Dari lorong-lorong yang sepi sekali
Dari jambatan yang usang dan sunyi
Dari hati yang mengemis pengampunan dan cinta Ilahi!




posted by Zaharah at 10:12 AM 0 comments

Friday, January 26, 2007

Munajat Ibnu Ataillah

Ilahi,
Dalam harta kekayaan-Mu aku adalah fakir. Sedangkan dalam kefakiran, aku pun merasa fakir. Kerana aku adalah orang yang fakir.
Ilahi,
Akulah orang jahil dalam ilmu. Betapa hal ini tiada lebih bodoh dari kebodohanku.
Ilahi,
Sungguh perubahan ketetapan-Mu. Cepat sampainya takdir-Mu. Itu semua telah menahan orang-orang arifin merasa puas atas semua pemberian. Tetapi putus asa dalam ujian.
Ilahi,
Dari kehinaan yang layak. Dari kemuliaan-Mu yang marak.
Ilahi,
Dengan sifat-sifat-Mu yang lembut. Dengan halusnya belas kasih-Mu. Engkau pun tahu aku lemah. Tiadalah Engkau menolak. Dengan sifat lembut dan belas-Mu dari kelemahan diriku.
Ilahi,
Bila ada padaku kebaikan. Kerana kasih dan kurnia-Mu. Engkau berhak menuntutku. Jika ada kejahatanku. Itu semua kerana keadilan-Mu. Engkau berhak menuntutku.
Ilahi,
Bagaimana aku menjadi wakil-Mu. Untuk mengurus diriku. Padahal Engkau penjamin bagiku. Betapa aku akan terhina. Padahal Engkau Sang Penolong. Bagaimana mungkin aku kecewa. Padahal Engkau Maha Pengasih.
Ilahi,
Aku datang kepada-Mu. Dengan tanganku yang fakir. Bagaimana aku berperantara. Padahal mustahil akan sampai kepada-Mu. Pada-Mu kuadukan diriku. Padahal tak ada yang tersembunyi pada-Mu. Betapa kumesti beri penjelasan. Padahal semua dari sisi-Mu jua. Mengapa aku harus kecewa. Padahal di hadapan-Mu aku selalu berdoa. Mengapa aku tiada menjadi baik. Padahal semuanya datang dari-Mu dan kembali kepada-Mu.
Ilahi,
Betapa diriku mendapat elus kehalusan-Mu. Yang Maha Agung. Padahal aku bodoh dalam kejahilanku. Besar nian rahmat-Mu. Kerana begitu buruk perilakuku.
Ilahi,
Begitu Engkau dekat dariku. Begitu jauhnya aku dari-Mu.
Ilahi, Sangat besar kasih-Mu. Ada apa gerangan. Yang menutup antara aku dengan-Mu.
Ilahi,
Kuakui perubahan. Kuakui pergantian zaman. Masa berubah zaman berganti. Namun kekuasaan kufahami. keagungan-Mu kusedari. Sehingga tak terlupa. Selalu kufahami.
Ilahi,
Dosa telah menutup pandanganku. Kemurahan-Mu membisikkan padaku. Ketika putus asa menggerogoti jiwaku. Aku menemukan rahmat-Mu. Kerana aku insan rendahan. Kurnia-Mu juga yang membukakan harapan.
Ilahi,
Di antara salahnya kebaikan insan. Betapa kesalahan itu bukan suatu dosa. Ketika ilmu jadi pengakuan belaka. Betapa pengkauan itu bukan kepalsuan juga.
Ilahi, Hukum-Mu memang pasti. Kehendak-Mu juga haru sterjadi. Tiada kesempatan bagi yang pandai. Bisa berkata apa-apa. Tiada juga. Bagi yang sakit menunjukkan keadaannnya.
Ilahi,
Berapa banyak pun ketaatanku. Berapa banyak pun keadaanku. Dapat kubaguskan. Tetapi tiba-tiba keadilan-Mu juga yang berlaku. Kerana kurnia-Mu jua. Tiadalah aku bergantung pada amalku semata.
Ilahi,
Engkau Maha Tahu, hal diriku. Hal amalku. Tiada kumelakukan kesinambungan. Tetapi aku tiada putus menempatkan niat dan cintaku. Pada semua amal.
Ilahi,
Betapa aku mesti berniat. Padahal Engkaulah penentu. Bagaimana aku mesti bertekad. Padahal Engkau yang memerintah.
Ilahi,
Aku pontang-panting di alam ini. Kerana begitu jauh jalan hidup ini. Dekatkan aku pada jarak-Mu. Oleh amal yang segera aku datang di hadapan-Mu.
Ilahi,
Betapa bisa jadi alasan. Yang menunjukkan semua kejadian. Berhajat pada-Mu. Tiada yang lebih terang dari-Mu. Semua jadi penjelasan. Sampai keghaiban memerlukan keterangan. Sampai Engkau menjadi jauh. Padahal alam mendekatkan hajatnya pada-Mu.
Ilahi,
Sungguh mata hamba menjadi buta. Kerana tiada melihat pengawasan-Mu selalu ada. Sungguh rugi perniagaan hamba. Tiada dapat dari-Mu rasa kasih dan cinta.
Ilahi,
Engkau suruh aku perhatikan alam. Pada peliputan selubung dalam. Nur cahaya-Mu bagai mentari semesta alam. Sebagaimana ketika aku masuk dalam mahligai-Mu. Menjadikan terpeliharanya hatiku. Dari gangguan genggaman kelam. Lalu terangkat keinginan dariku. Untuk bersandar kepada-Mu. Sesungguhnya Engkau amat kuasa. Atas segala apa yang ada.
Ilahi,
Tiada kehinaan yang tidak nampak oleh-Mu. Perihalku yang tidak tersembunyi bagi-Mu. Aku berharap dari pancaran nur-Mu. Agar aku tiba di depan-Mu. Dan aku peroleh hidayah-Mu. Kekukuhan jiwaku. Agar sungguh pengabdianku pada-Mu.
Ilahi,
Ajari aku ilmu pengetahuan. Yang berada dalam persembunyian. Dengan rahsia asma-Mu. Aku tetap dalam pemeliharaan-Mu.
Ilahi,
Berilah aku hakikatnya hakikat. Jalankanlah aku bersama insan. Yang datang berlangsung kepada-Mu.
Ilahi,
Bari aku kepuasan dengan aturan-Mu. Di dalam perasaan pilihan-Mu. Yang Engkau jadikan pilihanku. Dari-Mu untukku. Dudukkan aku dalam pilihan-Mu. Di atas keperluanku. Yang datang penuh desakan kebutuhan.
Ilahi,
Keluarkanlah aku dari kehinaan. Bersihkan aku dari keraguan. Sucikan aku dari syirik. Sebelum aku masuk ke liang kubur. Tolong dan bantulah aku. Pada-Mu jua aku berserah diri. Jangan jadikan untuk beratnya beban. Hanya pada-Mu aku bermohon. Jangan tinggalkan aku dalam kekecewaan. Kerana pada kurnia-Mu kuberpengharapan. Janganlah Engkau tolak aku bermohon. Dan mendatangi-Mu dengan penuh harapan. Jangan jauhi aku dalam ketertinggalan. Aku berada di pintu-Mu. Jangalah usir aku dari sisi-Mu.
Ilahi,
Engkau Maha Suci dalam redha-Mu. Betapa aku tergantung sebab dari-Mu. Bagaimana pula suatu sebab tergantung dengan-Mu. Engkau Zat yang Maha Kaya. Agar sampailah manfaat dari-Mu. Bagaimana mungkin Engkau butuh manfaat dariku.
Ilahi,
Aku telah dikalahkan oleh Qada' dan Qadar. Hawa nafsu syahwat telah menawanku. Tolonglah aku, ya Allah. Tolonglah dari godaan syahwat dan godaan nafsu. Menghancurkan musuh-musuh sahabat-sahabatku. Kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu. Sehingga aku merasa kaya kerana bersama-Mu. Bukan kerana suatu permintaan kepada-Mu.
Ilahi,
Engkalulah penerbit nur di dalam hati. Mereka pun mengenal-Mu dan mentauhidkan engkau. Ya Allah, penghilang kotoran dosaku. Dari hati orang yang mencintai-Mu. Mereka tidak mencintai dan mencari tempat bersandar. Kecuali hanya kepada-Mu. Engkau, ya Allah, pengembira hati mereka. Ketika seisi alam membuat mereka jemu. Engkaulah pengembira hati. ketika seisi alam menjemukan diri. Engkaulah pemberi mereka hidayah. Sehingga kebenaran itu menancar di antara mereka. Orang yang kehilangan Engkau. Telah menghilangkan dirinya. Dan kehilangan sesuatu. Yang mendapatkan-Mu. Kecewalah orang yang menemukan selain-Mu. Rugilah orang yang lari dari-Mu.
Ilahi,
Betapa aku mengharap yang bukan dari-Mu. Padahal Engkau tak memutuskan tali-Mu. Betapa aku memohon kepada selain-Mu. Padahal kurnia-Mu tetap kuterima. Wahai Zat yang memberi rasa manis. Kepada yang mencintai-Mu. Bermesraan dalam kasih sayang-Mu. Mereka berdiri di hadapan-Mu. Dalam kelembutan belas kasih-Mu. Engkau Zat yang memberi pakaian kebesaran pada wali-Mu. Dalam kebanggaan dan kemuliaan.
Ilahi,
Engkau adalah Penzikir sebelum zikirnya insan. Engkau adalah Pemberi kebaikan. Sebelum datangnya para abid kepada-Mu. Engkau pemberi yang Maha Pemurah. Sebelum datangnya para peminta kepada-Mu. Engkau juga Maha Pemberi. Kepada orang yang meminjamkan kepada-Mu.
Ilahi,
Bawalah aku mendekati rahmat-Mu. Agar aku segera sampai kepada-Mu. Tariklah aku ke dalam kurnia-Mu. Tiadalah mampu aku menghadap-Mu. Kecuali kerana kurnia-Mu.
Ilahi,
Alam ini adalah penghalang. Ketika aku datang menghadap-Mu. Dan ilmuku menghentikan aku. Di depan pintu-Mu. Kerana kemurahan-Mu.
Ilahi,
Mestikah aku kecewa, padahal Engkau harapanku. Betapa aku terhina. Hanya kepada-Mu saja aku berserah.
Ilahi,
Betapa aku jadi mulia. Padahal Engkau tempatkan aku pada kehinaan. Betapa aku jadi mulia. Sedang pada-Mu kumasukkan diriku. Betapa aku tidak butuh. Padahal aku fakir. Mana mungkin aku tak memerlukan. Padahal kemurahan-Mu. Telah memberi aku harta benda. Engkau Tuhan, tiada sesembahan kecuali Engkau. Engkaau kenalkan diri-Mu pada segala sesuatu. Sehingga tiada sesuatu jua tak mengenal kepada-Mu. Engkau yang mengenalkan diri-Mu. Sampai aku bisa memandang-Mu sangat jelas.
Ilahi,
Engkau sangat jelas pada apa pun. Wahai Zat yang bertakhta di 'Arasy. Sengan sifat kasih-Mu, 'Arasy itu ghaib dari mataku. Dengan kasih dan cinta-Mu. Sebagaimana alam ini musnah di dalam 'Arasy-Mu. Engkau tutupi 'Arasy itu dengan cakerawala yang bercahaya. Wahai Zat yang bernaung di dalam tembok kemuliaan. Sehingga tiada tercapai pandangan penglihatan. Wahai Zat yang menjelmakan kaindahan. Penuh kesempurnaan. Terbuktilah itu dalam hati dan perasaan. Engkau tampak jelas walau dalam persembunyian. Engkau Maha Ghaib tetapi memberi pengawasan. Engkau Taufiqur rahman. Tempat kami memohon pertolongan.
Ameen.
posted by Zaharah at 9:19 AM 0 comments