Catatan Hari-hari Seorang Musafir

Saturday, February 17, 2007

Pada Malam Ini


Malam sudah lama bermula. Sudah mahu sampai di pertengahannya. Namun, bunyi dentuman bunga api di luar sana masih rancak. Cahaya warna warni memenuhi langit Lumut malam ini. Saya masih terkurung di dalam dunia sunyi. Memandang dinding dan sesekali berbahasa dengan angin.


Ya Mutakabbir!
Tidak pernah dan tidak akan pudar kemegahan-Mu, meski manusia menunjukkan pelbagai keupayaannya. Dan, malam yang penuh kegembiraan bagi mereka yang memiliki syurga dunia ini, telah mengajar hamba untuk meneliti jauh ke dalam diri sendiri.


Ya Musawwir!
Cahaya api yang berbunga-bunga, memecah warna gelap langit-Mu. Mereka bahagia. Dari sudut terpencil ini, hati hamba terpecah-pecah oleh api nafsu. Sesat dalam gelap dan sunyi. Hamba mencari makna. Yang hamba tunggu terlalu lama. Atau hamba telah temui cahaya itu, tetapi hati hamba telah buta. Hamba mencari-Mu sedang Engkau tetap ada. Hamba menyisihkan-Mu sedang Engkau tetap memerhati. Hamba terus mencari......


Ya Qahhar!
Hamba memiliki hati. Sekeping hati yang Kau beri. Putih warna asalnya. Kini telah hitam hamba corakkan. Ke mana lagi hamba mahu pergi? Ke sisi siapa lagi hamba mampu pergi? Pagi yang tak terasa pagi. Malam yang tak terasa panjang. Hamba hilang tujuan. Mencari jalan penyucian. Jalannya telah ada. Tidak pernah berubah ia dari sisi-Mu, ya Tuhan. Hanya kaki hamba yang cedera. Dan hati yang penuh cela. Hamba hanya mampu memandang cahaya itu, dari jauh. Hamba hulurkan tangan, tetapi hati hamba masih dalam kegelapan. Waktu meninggalkan dan hamba terus terkebelakang. Dengan penguasaan-Mu, kuasailah seluruh hati hamba, agar ia kembali suci, wahai Yang Menguasai.


Ya Fattah!
Bagaikan sebuah pintu gua, yang tertutup rapat. Hamba tidak ada daya, untuk membuka hati hamba sendiri. Kerana keupayaan itu tidaklah hamba miliki. Milik-Mulah segala yang ada ini. Hamba damba putih cahaya, dan dikembalikan hati hamba, kepada warna asalnya. Apalah yang mampu hamba lakukan dengan hati segelap ini? Tiada cahaya. Tiada upaya. Hamba hilang semuanya bilamana Engkau hamba tinggalkan. Alangkah malangnya hamba, wahai Yang Maha Membukakan.


Ya Qabidh!
Hamba sudah tidak mampu bergerak ke depan. Semakin jauh perjalanan, semakin hitam masa depan. Semakin jauh Engkau hamba tinggalkan. Kabus itu terlalu tebal. Jurang itu terlalu dalam. Sakit ini terlalu panjang. Hamba tidak mampu bahagia tanpa genggaman-Mu, walau sesaat. Nyawa hamba milik-Mu, hidup ini hamba corakkan semahu. Hananya rasa, wahai Tuhan. Ambillah hamba pulang, andai di hadapan adalah pilihan yang lebih sesat harus hamba jalani.


Ya Muzil!
Terlalu hitam hati ini hamba perlakukan. Penuh karat dan rasa sakit. Apakah ada yang wujudnya telah sebati dengan hitam itu, mampu diputihkan kembali warnanya? Dan, kemaksiatan hamba tetaplah dalam murka-Mu. Kekejian hamba tetaplah akan mendapat balasan-Mu. Tetapi hamba merayu, jalan pulang ini, hamba merayu ambillah hamba kembali untuk Engkau ampuni, Wahai Tuhan Yang Maha Menghinakan segala kejahatan hamba.


Ya Sami' Ya Basir!
Hamba mohon dalam desakan, tanpa ada pengecualian. Engkau melihat kehinaan dan kederhakaan hamba, tetapi Engkau juga mendengar rayuan hamba. Hamba sujud, hamba pohon. Sesunggunya, pada-Mu sajalah tempat semuanya kembali.


Ya Ghaffar!!!
Tanpa pilihan, hamba meminta. Api-api yang memecahkan dada langit-Mu, api-api yang telah membakar jiwaku, hamba pohon keampunan, tanpa pengecualian. Bilamana telah lena semua makhlukmu, dan berdiri hamba-hamba-Mu yang mukhlis, hamba merayu keampunan. Kepada-Mu, hamba ingin pulang seperti burung-burung yang terbang aman. Seperti ikan yang berenang tenang. Seperti pohon yang berzikir tanpa henti. Seperti laut yang dingin penuh rindu pada-Mu. Seperti gunung-gunung yang sentiasa sujud kepada-Mu. Kegelapan hati ini, hamba sudah tidak mampu menafasinya lagi. Berikanlah hamba upaya, kembali berjalan di jalan-Mu yang lurus. Mohon keampunan, mohon pertolongan, mohon bimbingan, wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani.

Ya Jalil, Ya Karim, Ya Raqib, Ya Mujib!
posted by Zaharah at 8:40 AM 0 comments

Wednesday, February 14, 2007

Teliti dan Perbaikilah Dirimu Bila Ada Celaan


Bergaul dengan manusia, memang tidak seindah mimpi tentang serombongan orang yang pergi bersama-sama, makan bersama, saling tolong-menolong, kasih-mengasihi dan cerita yang menyenangkan. Bergaul di antara sesama manusia, memang boleh menyenangkan, akan tetap tidak jarang menjengkelkan.


Kadang-kadang memang tidak selalu apa yang kita kehendaki sama dengan apa yang dikehendaki orang lain. Demikian juga apa yang dikehendaki orang lain mungkin tidak sama dengan kehendak kita. Sering pula orang mengkoreksi diri kita, atau juga mencela, dan mengungkit-ungkit kesalahan kita, atau membuat kita jengkel dan marah. Menghadapi hal seperti ini hendaklah hamba Allah yang soleh dan mukhlis, tidak menyesali diri, atau menyalahkan orang lain. Hendaklah ia kembalikan segala-galanya kepada Allah, Pemelihara yang tidak diketahui oleh manusia.


Mengembalikan semua masalah kita sebagai hamba, kepada Allah, ialah meminta pertolonganNya, agar terlepas daripada mara bahaya yang datang dari manusia ataupun datang dari diri kita sendiri.


Dalam pergaulan memang diperlukan jiwa yang besar, namun tidak angkuh. Tabah tetapi tidak menyalahkan. Tegar tetapi tetap waspada. Mengkoreksi diri sangat penting, agar mengetahui kelemahan diri kita sendiri, dan berusaha memperbaiki, serta menambah kebaikan. Manusia kadang-kadang tidak mampu melihat dirinya sendiri. Ia lebih pandai melihat orang lain. Sehingga aib yang ada di matanya sendiri tidak nampak olehnya. Banyak kesalahan yang dibuat oleh diri kita sendiri, akan tetapi , kerana kita tidak hiraukan, maka aib itu pun terabai.


Janganlah menganggap koreksi terhadap diri kita sangat menyakitkan, akan tetapi kita sendiri tidak meneliti dan memperbaiki aib diri kita sendiri. Lebih baik kita menyakiti diri sendiri, kerana mengkoreksi aib daripada dikoreksi orang lain kerana ia akan lebih menyakitkan.


Berusaha memperbaiki diri sendiri serta menghidupkan kembali perasaan dan sikap beragama dalam diri adalah ubat yang sangat mujarab dalam pergaulan. Sesudah itu disembuhkan sendiri sakit dan pedih itu dengan tawakal kepada Allah, lalu dipulihkan dengan rida menerima semua yang datang dari Allah.

Sumber: Mutu Manikam Dari Kitab Al-Hikam, Syeikh Ahmad Atailah.
posted by Zaharah at 8:52 PM 0 comments

Sunday, February 11, 2007

Di Perjalanan Ini....

Pernahkah anda merasa letih ketika di perjalanan yang sangat jauh?

Entah, tiba-tiba saya berasa terlalu penat. Terlalu letih. Persis baru tiba dari sebuah perjalan di padang pasir yang luas dan tandus. Saya sudah tidak sabar untuk menamatkan perjalanan ini. Saya sudah sedia membuka mulut, mendongak ke langir, agar turun titisan rahmat dari awan kasihNya yang Maha Pemurah. Saya mahu mengisi kedahagaan ini, dengan pertemuan, agar saya tidak lagi berpeluang ingkar terhadap anugerahNya.

Anda, jangan silap faham. Saya bukan berputus asa pada kehidupan yang Allah berikan ini. Bukan! Bukan, saya bukan berputus asa. Saya cuma berasa terlalu letih. Saya hanya mahukan Dia, mahukan sebuah kesudahan yang baik daripada nyawa yang saya galas ini. Saya mahukan kesudahan yang bahagia, bersamaNya tatkala saya sudah berasa amat letih!






posted by Zaharah at 11:28 AM 0 comments

Thursday, February 1, 2007

Aku Musafir

Di sini,
Aku leta, bermusafir dalam harap. Semalam yang kecundang, kusimpan dalam dakap. Sampai bila-bila pun, aku akan tetap jadi musafir. Harap-harap tidaklah aku karam dalam kekosongan. Kalau maut tiba pun, biarlah ia menjemput dengan penuh kelembutan dan kemuliaan. Penuh dengan pengampunan Tuhan.
Kerana, aku musafir yang sedar diri. Leta. Tidak punya apa. Yang ada hanya perahu amal yang penuh dosa.
posted by Zaharah at 1:10 PM 0 comments