Catatan Hari-hari Seorang Musafir

Saturday, February 17, 2007

Pada Malam Ini


Malam sudah lama bermula. Sudah mahu sampai di pertengahannya. Namun, bunyi dentuman bunga api di luar sana masih rancak. Cahaya warna warni memenuhi langit Lumut malam ini. Saya masih terkurung di dalam dunia sunyi. Memandang dinding dan sesekali berbahasa dengan angin.


Ya Mutakabbir!
Tidak pernah dan tidak akan pudar kemegahan-Mu, meski manusia menunjukkan pelbagai keupayaannya. Dan, malam yang penuh kegembiraan bagi mereka yang memiliki syurga dunia ini, telah mengajar hamba untuk meneliti jauh ke dalam diri sendiri.


Ya Musawwir!
Cahaya api yang berbunga-bunga, memecah warna gelap langit-Mu. Mereka bahagia. Dari sudut terpencil ini, hati hamba terpecah-pecah oleh api nafsu. Sesat dalam gelap dan sunyi. Hamba mencari makna. Yang hamba tunggu terlalu lama. Atau hamba telah temui cahaya itu, tetapi hati hamba telah buta. Hamba mencari-Mu sedang Engkau tetap ada. Hamba menyisihkan-Mu sedang Engkau tetap memerhati. Hamba terus mencari......


Ya Qahhar!
Hamba memiliki hati. Sekeping hati yang Kau beri. Putih warna asalnya. Kini telah hitam hamba corakkan. Ke mana lagi hamba mahu pergi? Ke sisi siapa lagi hamba mampu pergi? Pagi yang tak terasa pagi. Malam yang tak terasa panjang. Hamba hilang tujuan. Mencari jalan penyucian. Jalannya telah ada. Tidak pernah berubah ia dari sisi-Mu, ya Tuhan. Hanya kaki hamba yang cedera. Dan hati yang penuh cela. Hamba hanya mampu memandang cahaya itu, dari jauh. Hamba hulurkan tangan, tetapi hati hamba masih dalam kegelapan. Waktu meninggalkan dan hamba terus terkebelakang. Dengan penguasaan-Mu, kuasailah seluruh hati hamba, agar ia kembali suci, wahai Yang Menguasai.


Ya Fattah!
Bagaikan sebuah pintu gua, yang tertutup rapat. Hamba tidak ada daya, untuk membuka hati hamba sendiri. Kerana keupayaan itu tidaklah hamba miliki. Milik-Mulah segala yang ada ini. Hamba damba putih cahaya, dan dikembalikan hati hamba, kepada warna asalnya. Apalah yang mampu hamba lakukan dengan hati segelap ini? Tiada cahaya. Tiada upaya. Hamba hilang semuanya bilamana Engkau hamba tinggalkan. Alangkah malangnya hamba, wahai Yang Maha Membukakan.


Ya Qabidh!
Hamba sudah tidak mampu bergerak ke depan. Semakin jauh perjalanan, semakin hitam masa depan. Semakin jauh Engkau hamba tinggalkan. Kabus itu terlalu tebal. Jurang itu terlalu dalam. Sakit ini terlalu panjang. Hamba tidak mampu bahagia tanpa genggaman-Mu, walau sesaat. Nyawa hamba milik-Mu, hidup ini hamba corakkan semahu. Hananya rasa, wahai Tuhan. Ambillah hamba pulang, andai di hadapan adalah pilihan yang lebih sesat harus hamba jalani.


Ya Muzil!
Terlalu hitam hati ini hamba perlakukan. Penuh karat dan rasa sakit. Apakah ada yang wujudnya telah sebati dengan hitam itu, mampu diputihkan kembali warnanya? Dan, kemaksiatan hamba tetaplah dalam murka-Mu. Kekejian hamba tetaplah akan mendapat balasan-Mu. Tetapi hamba merayu, jalan pulang ini, hamba merayu ambillah hamba kembali untuk Engkau ampuni, Wahai Tuhan Yang Maha Menghinakan segala kejahatan hamba.


Ya Sami' Ya Basir!
Hamba mohon dalam desakan, tanpa ada pengecualian. Engkau melihat kehinaan dan kederhakaan hamba, tetapi Engkau juga mendengar rayuan hamba. Hamba sujud, hamba pohon. Sesunggunya, pada-Mu sajalah tempat semuanya kembali.


Ya Ghaffar!!!
Tanpa pilihan, hamba meminta. Api-api yang memecahkan dada langit-Mu, api-api yang telah membakar jiwaku, hamba pohon keampunan, tanpa pengecualian. Bilamana telah lena semua makhlukmu, dan berdiri hamba-hamba-Mu yang mukhlis, hamba merayu keampunan. Kepada-Mu, hamba ingin pulang seperti burung-burung yang terbang aman. Seperti ikan yang berenang tenang. Seperti pohon yang berzikir tanpa henti. Seperti laut yang dingin penuh rindu pada-Mu. Seperti gunung-gunung yang sentiasa sujud kepada-Mu. Kegelapan hati ini, hamba sudah tidak mampu menafasinya lagi. Berikanlah hamba upaya, kembali berjalan di jalan-Mu yang lurus. Mohon keampunan, mohon pertolongan, mohon bimbingan, wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani.

Ya Jalil, Ya Karim, Ya Raqib, Ya Mujib!
posted by Zaharah at 8:40 AM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home